Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang hari ini mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah / 2025 Masihi bertempat di masjid berkenaan.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian daging-daging korban kepada peserta yang turut serta berkorban, diikuti dengan pengagihan kepada golongan asnaf.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan agihan ialah Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos juga selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.
Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.
Sebanyak sembilan ekor kerbau telah dikorbankan yang disertai oleh seramai 63 peserta.
Sementara daging-daging korban diagihkan kepada seramai 36 golongan asnaf terdiri daripada penduduk Kampung Manggis 1, Kampung Manggis 2 dan Kampung Madang.
Manakala, pengagihan daging korban bagi orang ramai pula diadakan secara pandu lalu.
Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat dibacakan dan dipimpin oleh Awang Razman bin Haji Ramlee.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto